Kita Layak Bahagia





 “Bukan masalah tidak boleh mencapai bahagia…

tetapi masalah tidak mengenal apa itu bahagia”



Malam dingin dengan sapaan angin membelai sekali-sekala. Saya renung wajahnya. Jelas sudah ada retak-retak pada pelipis matanya.


“Bang, bahagiakah kita?”

Masih terngiang-ngiang pertanyaanya lewat bual kami menjelang tidur.

“Bahagia itu di mana?” Tanya saya semula

Dia diam. Matanya redup bagai kerlipan lampu kamar tidur kami.

“Terlalu banyak yang kita telah lalui bersama. Tak sedar dah lebih 20 tahun kita bersama” kata saya.


Pertanyaanya terus ternganga. Saya pasti dia tidak memerlukan jawapan. Kekadang soalan dan luahan sukar dibezakan. Dalam suram wajahnya saya renung. Mata kami bertembung. Tidak ada bicara namun rasa dalam rentetan pelbagai peristiwa begitu laju menerpa. Satu demi satu masih harum rasanya kenangan malam itu. Waktu kali pertama tangan kami bersatu. Jari-jarinya berinai merah. Seri wajahnya seakan purnama menghiasai kamar pengantin. Tapi sekarang jari-jari itu tidak sehalus dulu. Telah banyak guris kesusahan, sudah sering diguris keperitan. Pun seri wajahnya retak juga dipagut usia.


 Masih saya ingat kata-kata malam pertama kami..

“Apa perasaanmu?”

Dia senyum.

“Saya bahagia”


“Hari ini boleh jadi bahagia…tapi insyaAllah kita masih ada ribuan hari lagi yang akan dilalui bersama. Berdoalah sepertimana mukaddimahnya, begitulah nanti natijahnya.” Kata saya seakan berbisik.


Senyum kami menguntum. Oh alangkah indahnya ketenangan yang dia berikan. Tetapi akhirnya mentari kehidupan pun menyala petanda bulan bermadu telah berakhir. Hidup tidak selalunya indah kerana di situlah keindahan hidup.


Hari demi hari terus berlalu. Musim pantas mencantas waktu bagai embun dijilat suria. Putera dan puteri kami menyusul seorang demi seorang. Tribulasi datang dan pergi. Roda kehidupan berputar laju, kekadang di atas, sering juga di bawah. Ada ketikanya senyum, suka  dan ceria. Acapkali juga ada muram , duka dan air mata. Anehnya dia terus bersama saya. Kadang tegurannya tajam menikam..saya pedih. Namun jauh di sudut hati, terbujuk juga…itu kerana sayang. Pernah juga belai dan manjanya melekakan…..mujur hati sering diingatkan – dia adalah ‘hadiah’ Tuhan untuk saya. Masakan hadiah lebih besar dari Pemberinya?


“Bahagia itu ketenangan!’ kata ulama yang arif tentang sabda dan wahyu.

“Ketenangan itu apa?”

“Hati yang tenteram dalam semua keadaan dan suasana. Susah mahupun senang, miskin mahupun kaya, sihat mahupun sakit, pujian atau kejian…sama sahaja”

“Bagaimana hendak memiliki hati semacam itu?”

“Ingat Allah, hati akan menjadi tenang”

Terburai semua monolog dalam diri pada malam ini ditusuk sebuah pertanyaan :”Bang bahagiakah kita?”

“Tanpa Tuhan, tiada ketenangan. Tanpa ketenangan, tiada kebahagiaan” 


“Isteriku, kebahagiaan itu terlalu maknawi. Tapi ketenangan itu kita  dapat rasai. Jika kau tanyakan bahagiakah kita? Ertinya kau tanyakan tentang ketenangan kita. Dan jika kau tanyakan tentang ketenangan kita..kau sebenarnya bertanyakan sejauh mana kita ingatkan DIA – Tuhan kita!”

  

Kembali kita berjauhan

Salam terpisah senyum tertahan

Rindu berbuah, sayang merendang

Jauh-jauh begini

Menguji percintaan

 

Suaramu telus di langit kelabu

Setiamu selimut dingin hujanku

Arca bayang-bayang malam

Sinar remang-remang siang

Melukis setiamu di awan gemawan

 

Terpisah semakin indah

Kian terlarut keruhan rasa

Terimbau semula nostalgia lama

Jari-jari merahmu..

Di malam pertama


 Sayang…jauh itu DEKAT!


“Sebaik-baik isteri adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta bendamu ketika engkau tiada di rumah”

Riwayat Thabrani daripada Abdullah bin Salam


 -dipetik dari Satu Rasa Dua Hati

Us Pahrol Mohd Juoi





Comments

Popular posts from this blog

Catatan Ketiga Abi dan Ummi

Aliyah Husna, 3 tahun...

AURA FCA TO BE