Tuai Apa Yang Disemai

Tatkala semuanya tidur, menerjah satu-persatu kemarahan yang dipaksa. Buat apa mahu melenting, sedangkan mereka masih kecil. Hati kecil aku menjawab, "Aku mahu mendidik mereka untuk menjadi manusia yang mendengar kata dan manusia yang sukakan kekemasan dan kebersihan." Bila dari kecil dah biasa, jadilah ia seperti rutin dalam proses tumbesarannya.


Medium Positif dan Negatif

Apabila diperhatikan, menyuruh dengan nada perintah memang tidak meninggalkan kesan positif. Malah merundung jengkel terhadap jiwa sang anak. Anak-anak kini bukan lagi bodoh. Meskipun seawal usia setahun jagung. Dengan kecanggihan media, bahan tontonan, bahan bacaan, ubat-ubatan dan bahan suplementary serta bahan makanan menyebabkan mereka sudah mula memaksimakan penggunakan hemisfera kanan dan kiri otak mereka. Neuron dan dendrit bersambung secara maksima dan ketika inilah segala input yang diperolehi dirakam dengan amat baik.

Menyuruh dengan nada berkasih sayang dan lembut, menatijahkan kesan yang amat positif. Sedangkan benih pokok yang dibesarkan dengan kata-kata semangat dan positif sepanjang tumbesarannya menghasilkan tumbesaran yang baik berbanding anak benih yang dibesarkan dengan hamburan kata-kata negatif. Kajian telah membuktikannya!! Inikan pula manusia yang dibekalkan Allah dengan akal dan perasaan!


Bergaul Dengan Anak Dengan Kekerasan

1. Kesan memarahi dan memukul anak anak yang kerap dan sedikit keterlaluan hanya akan menjadikan anak anda seorang yang pasif.

2. Sebagai ibu bapa sewajarnya tidak mudah terlalu ringan tangan untuk menampar, menjentik dan memukul anak dengan sewenangnya apabila berdepan dengan anak yang merengek. Anak yang merengek itu mungkin ada sebabnya. Sebaiknya, selessaikan masalahnya terlebih dahulu.

3. Anda lebih sayangkan pasu bunga daripada anak, seandainya pasu bunga paling mahal dan disayangi anda itu pecah? Anak anda mungkin melakukannya dengan tidak sengaja. Sebagai ibu yang kalut di dapur, di samping anak yang lebih kecil yang menangis kalaparan, sudah tentu perasaan anda ketika ini berada di luar kawal. Beristighfar dan tariklah nafas...katakan..pasu ini bukan rezeki aku. Allah yang mengkehendaki pasu ini pecah...alhamdulillah, anak aku selamat...selidikilah dahulu, jangan terus menghentam anak.

4. "Kalau nangis lagi, mak bagi kamu dekat momok! Diam!" itu kata-kata paling mudah untuk meredakan tangisan anak, menghadapi anak yang meragam. Perbuatan menakut- nakutkan anak ini sebenarnya akan menyebabkan anak bersikap menyerah, melemahkan semangat, melumpuhkan otak, menjadikan anak bersifat pengecut dan hilang keyakinan diri.

5. Anak yang sering dimarahi juga apabila melakukan sesuatu akan takut untuk mencuba sesuatu yang baru.

6. Kurangnya memberi galakan dan penghargaan terhadap anak adalah salah satu bentuk penderaan perasaan. Sekalipun si anak membantu meletakkan pakaian kotor ke dalam bakul, ringankanlah mulut si ibu menuturkan kata pujian dan penghargaan agar jiwa si anak subur dengan akhlak ringan tulang membantu.




7. Kurang memberi pandangan muka yang menunjukkan kasih sayang juga mencederakan perasaan anak. Wajah yang garang dan masam tidak mesra untuk ditatap. Kanak-kanak sudah pasti dapat membezakan wajah yang garang dengan wajah yang manis dengan senyuman. Kanak-kanak mungkin akan menuruti perintah daripada wajah garang dan masam tadi, namun tindakannya adalah secara terpaksa dan atas faktor takut. Jika wajah kedua ibu bapa tadi masam dan garang akibat tekanan kerja dan sebagainya, fikirkanlah...kepada siapa lagi si anak kecil tadi hendak mengadu??


Pelaburan Untung dan Rugi

Mentarbiah anak sangat memerlukan pengorbanan yang besar, memerlukan ketekunan dan kesabaran. Seperti kata pepatah, alah membeli menang memakai, bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian. Semuanya itu adalah pelaburan. Pelaburan kita di usia senja, malah pelaburan juga di alam barzah dan alam yang baqa.

"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

-As-Soff ayat 10 & 11-


Comments

Popular posts from this blog

Catatan Ketiga Abi dan Ummi

Aliyah Husna, 3 tahun...

AURA FCA TO BE