pohonhijau.com

Ukhuwwah Fillah, Mahabbah Lillah

Mehnah dan Tribulasi

Kehidupan masa dan zaman ini sangat mudah berhadapan dengan hamparan dan hidangan fitnah akhir zaman, cubaan dan cabaran dari manusia yang menjadi musuh sama ada secara terang mahupun secara muslihat terhadap hambaNya yang mengaku beriman kepada Allah. Anda sebagai seorang ayah, seorang ibu, mahu pun sebagai seorang anak, seorang kakak, abang atau adik, seorang sahabat kepada seseorang yang lain, sebagai seorang pekerja dan majikan, sebagai mad'u dan da'ie, sebagai jiran, sebagai guru, sebagai murid hatta sebagai suami mahu pun isteri. Masing-masing mempunyai cabaran yang tersendiri untuk mengasah tahap kematangan iman dan akal, bagaimana untuk menyaring, mengadaptasi, melawan, bertoleransi dengan segala mehnah yang mendatang.

Cabaran Mendidik Anak

Ibu mana yang tidak mahu mendidik anak-anaknya dengan buah tangan dan buah fikirnya sendiri. Dunia hari ini dipenuhi dengan manusia yang sangat sibuk. Dunia kini bersifat globalisasi, persaingan antara spesies yang bernama manusia semakin tampak rancak dan hebat semata-mata untuk memenuhi tuntutan hutang rumah, kereta, pinjaman peribadi di samping mengembangkan karier dan potensi diri. Ibu atau isteri untuk tidak bekerja, tuntutan kehidupan melebihi hasil mahsul pencarian. Nak tak nak, sesuatu mesti dikorbankan, tetapi dengan cara yang sangat seimbang, dengan cara yang sangat bijak, supaya pengorbanan itu berbaloi.



Cabaran Membina Aqidah

Sesekali, apabila mempunyai masa terluang, bersantai dengan keluarga, televisyen sebagai kotak menyala yang sangat berpengaruh, ditonton untuk melepaskan lelah yang ada. Namun, niat untuk melepaskan lelah itu kadangkala tidak berhasil dengan hanya menonton santapan yang tidak langsung memberikan faedah yang membina dari segi akal dan minda. Cerita-cerita dongeng yang secara terang-terangan menyentuh aqidah sangat berleluasa. Sangat takut untuk menjamu mata dan minda dengan cerita-cerita sebegitu terutamanya kepada anak-anak, mahupun muda remaja tanpa bantuan penerangan dan penjelasan yang benar daripada orang dewasa (orang yang lebih tahu). Bayangkanlah, nak minta bantuan apabila menghadapi kesusahan, pergi jumpa buaya emas, berjumpa dengan dukun dan pari-pari.


Cerita mengagungkan cinta antara seorang pria dan dara yang kononnya sedang bercinta, mempertahankan cinta yang kononnya suci itu adalah lebih besar dan lebih utama daripada mengorbankan hak dirinya kepada Allah. Hak dirinya untuk menutup aurat, untuk menjaga batasan dirinya dengan ajnabi dengannya, hak dirinya dengan ibu ayahnya....semua itu dikorbankan dengan terlalu mudah demi CINTA yang kononnya halal lagi suci itu.




Semalam semasa dalam perjalanan pulang dari perpustakaan awam, saya terjumpa satu surat yang di hadapannya tertulis, kepada Yusri dan di sudut yang lain, tertulis daripada Aina. Surat itu mungkin tercicir di tengah jalan. Saya pun mengambil dan membuka sampul surat berkenaan. Masih berisi. Saya pun lalu membuka dan membacanya. Dengan bahasa yang tunggang terbalik, tulisan juga tunggang terbalik dari segi penggunaan huruf besar dan huruf kecil. Isinya hanya untuk memberitahu, si penulis mahu ke Ipoh dengan menyatakan perasaan gembiranya kerana dapat mengikut ibunya ke Ipoh.

Saya menafsirkan, mereka ini mungkin ber'couple'. Murid sekecil darjah 4 atau 5 mungkin, atau darjah 3 berdasarkan pengamatan gaya bahasa yang digunakan. Tidak mustahil kesemua idea ini mereka dapat dan pelajari daripada hidangan dan menu-menu yang boleh didapati dengan mudahnya di kaca televisyen.

Teringat pesanan daripada kuliah Ustaz Zulkifli Ahmad, anak-anak sekarang lebih kenal Ultraman daripada Saad Bin Abi Waqas, seorang yang lebih hebat daripada ultraman kerana diri Saad telah dijanjikan syurga ketika hidup di dunia lagi.


Anak-anak sekarang lebih arif dan mengenali karektor Spongebob Squrepant, Detektif Conan, Wonder Pets yang kononnya hebat sebagai wira daripada tokoh agung Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman Al-Affan, Ali Karramallahu Wajhah, puteri Nabi, Fatimah Az Zahra, Aisyah Humaira, Khaulah Al-Azwar. Ustaz Zulkifli juga berpesan, adalah menjadi peranan ibu dan ayah untuk menceritakan kesemua cerita hebat para tabiin dan ahli syurga itu kepada anak-anak. Tanamkan perasaan cinta dan dambakan syurga dan takutkan neraka Allah. Dua kunci utama, memperkenalkan dan memasakkan aqidah anak-anak ini dengan syurga dan neraka. Jangan sampai si anak memberikan info yang penjang lebar untuk menerangkan siapa ultraman kepada kita, ibu dan ayahnya...semata-mata kerana ingin memberitahu yang mereka 'arif' mengenai Ultraman!


Tanggungjawab Agung Ibu dan Ayah!

Kelompangan ini perlu segera diatasi, perlu segera diisi dengan ilmu yang bermanfaat. Peranan kita sebagai ibu dan ayah semakin berat apatah lagi ibu dan ayah yang bekerja. Pasakkan kotak minda anak-anak kita yang masih kecil dengan alunan nasyid mengingati Allah, berbanding lagu-lagu rakyat. Saya juga selalu menegur Aliyah dan Muaz yang kadangkala menyanyikan lagu yang dipelajari daripada rakannya di rumah pengasuh, antara liriknya adalah begini; "Cik Baba jatuh dalam parit, Cik Aminah ketawa jerit-jerit, naik keretapi singgah Kuala Lumpur, Nampak isteri cantik terselit bawah dapur..." - memang tiada makna yang boleh dipelajari daripada lirik tersebut, bukan?...

Begitulah, pengisian minda segar anak-anak kita ini, adalah tanggunggjawab kita sebagai ibu ayah untuk mengisi dengan sebijaknya. Daripada ianya kosong, kitalah sebagai ibu dan ayah yang akan mengisinya. Sama-samalah kita perdalami dan perhalusinya kerana tanggunggjawab inilah antara yang akan dipersoalkan kembali di hadapan Allah kelak..



0 comments: