pohonhijau.com

Ukhuwwah Fillah, Mahabbah Lillah

Selamatkah Dunia Hari Ini Untuk Anak Kita?

Sejauh mana anak-anak kita akan sentiasa berada bersama dengan kita? Mata kita akan sentiasa mengawasi tindakan mereka, akhlak mereka, tindak tanduk mereka dalam pergaulannya sesama adik-beradik, muamalahnya bersama kawan-kawannya, muamalahnya bersama orang yang lebih tua daripadanya?

Tentunya kita tidak mampu untuk mengawasinya bagaikan CCTV yang sentiasa merakamkan situasi automatik sepanjang masa. Daya penerokaan mereka seharusnya dipandu dengan panduan-panduan yang sangat berguna. Daya kreativiti mereka seharusnya dilorongkan dengan suatu asas dan dasar yang kukuh dengan aqidah dan akhlak Islam yang sebenar.

Nilai vs Hedonistik

Memetik kata-kata seorang penceramah ketika mendengar forum di Masjid Hasanah, pening memikirkan bagaimana hendak mengawal anak daripada cabaran masa kini yang sangat ekstrim. Terlalu mudahnya anak-anak ini mendapat pengaruh sumbang jangankan ketika melangkah ke luar rumahnya, bahkan di dalam rumah juga mereka amat mudah untuk memperolehinya. Daripada "idiot box" iaitu televisyen yang paparannya sangat mendukacitakan dan juga internet yang tidak dikawal penggunaannya. Rasanya mahu sahaja saya membeli sebuah pulau yang mana tiada televisyen, tiada talian telefon semata-mata ingin memutuskan hubungan daripada sumber pengaruh sumbang!!!!

Sukar bukan? Ilmu keibubapaan perlu ditimba sebaik sahaja apabila anda berniat untuk memilih pasangan, mencari teman hidup langsung menjadi ibu kepada zuriat generasi anda. Dari semasa ke semasa, ilmu itu perlu dipertingkatkan selaras dengan kepesatan cabaran kuning. Media yang terlalu mengagungkan dunia hedonistik.

Pasakkan nilai-nilai murni dan akhlak Islamiyyah sewaktu anak-anak masih rebung antara tindakan wajib seseorang yang bergelar ibu dan ayah sebagai seorang wali terhadap anak-anaknya. Tanamkan kefahaman yang jelas mengenai dosa dan pahala, syurga dan neraka. Kerana itulah matlamat akhir bagi sebuah kehidupan.

Jangan begitu mudah menganggap anak seumur 3 tahun, mereka masih terlalu kecil untuk membincangkan perkara seserius itu. Anak-anak sekarang tampaknya tahap kematangan mereka agak cepat, apabila ibu bapanya berperanan dalam membantu mereka untuk berfikir, memberikan pendedahan seawal mungkin tentang hakikat kehidupan. Ibu bapa wajib untuk merangsang minda anak-anak ini untuk menjadi matang dengan tidak menafikan hak mereka untuk menikmati zaman kanak-kanaknya. Semestinya perkara ini perlu diseimbangkan.



Anak-Anak Peringkat Putik Jagung

Kanak-kanak pada peringkat ini adalah penyerap yang terbaik. Ajarlah apa-apa pun, mereka pastinya dapat mengadaptasi atau memberikan respon yang sangat baik. Tambahan lagi apabila ibu bapa prihatin terhadap pemakanan anak-anak ini contohnya dengan memberikan makanan yang terbaik untuk merangsang percambahan input dan memaksimakan penggunaan otak kanan dan kiri mereka.

Diajar menonton ultraman, nilai dariapda ultraman lah yang mereka dapat. Diajar menghafal surah Al-Ikhlas, surah Al-Ikhlas lah yang mereka dapat. Semuanya tidak mustahil. Hatta kanak-kanak sekecil 3 tahun sekalipun, apabila hari-hari didengarkan nasyid Asmaul Husna, nasyid itulah yang hidup subur dan menghijau di dalam kotak memori mereka.

Anak-Anak Peringkat Setahun Jagung

Anak-anak peringkat ini mereka telah terdedah dengan persekitaran, bergaul dengan kawan-kawan dan masyarakat. Peranan ibu bapa penting dalam sentiasa berbincang, bertukar pendapat tentang apa yang mereka lihat (suasana persekitaran, suasana remaja yang tidak menutup aurat, suasana yang pelbagai). Waktu inilah kita seharusnya kena sentiasa meletakkan label, ini baik, ini tidak baik, ini dosa, ini pahala, ini betul dan itu tidak..sepanjang masa apabila kita bersama mereka, insyaAllah.

Penerapan nilai Islam yang murni dan syumul bukannya mampu dipasakkan dengan usaha sehari dua, malah sepanjang tempoh hari-hari yang dilalui oleh seorang anak daripada umurnya setahun sehinggalah mereka boleh dilepaskan untuk menjadi "orang".

Anak-Anak Peringkat Jagung

Mereka lah menjadi kawan kepada ibu bapa sepatutnya. Jom kita ke surau, mari kita berjogging, mari kita main badminton. Usah biarkan masa mereka berlalu tanpa aktiviti yang boleh merapatkan hubungan antara ibu ayah dengan anak.

Pantau, sentiasa membuat audit mengenai setiap aspek dalam hidup mereka, solat mereka, ibadah wajib dan sunat mereka, pergaulan mereka, kawan-kawan mereka dari mereka bangun tidur sehinggalah mereka tidur semula.


Roda Pusingan

Berat bukan? Namun yang berat itulah cabaran! Tanpa kita mengetahui adanya pahit, masakan kita dapat merasai nikmatnya rasa manis itu...Begitulah roda alam ini berputar. Dahulunya kita seorang anak, sekarang kita menjadi ibu dan ayah kepada zuriat generasi kita.

Awasi peranan kita sebagai ibu, awasi peranan kita sebagai ayah lagi-lagi sebagai wali kepada anak-anak perempuan kita. Terlalu banyak muda mudi remaja perempuan di luar sana yang gaya hidupnya mahukan kemodenan dengan pakaian yang tidak langsung menepati suruhan Allah. Ayah mempunyai hak mutlak ke atas apa yang anak perempuannya pakai. Tidak terkecuali juga bagi anak teruna mereka.

Kadang sedih sangat melihat adik-adik yang sedang rancak membesar dan menimba ilmu di institusi pengajian awam sebagai satu gedung pemprosesan sumber manusia, sangat begitu ghairah dengan dunia 'trendy' mereka. Adakah mereka tidak tahu akan dosa dan pahala, syurga dan neraka, salah dan betul? Halal dan Haram?

Besarnya peranan dan tanggungjawab kita di akhir zaman ini.....Siapa yang tidak runsing, kerana saya juga seorang ibu!!!!.


Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa” Al-Furqan (25:74)


DOA PARA RASUL UNTUK ANAK-ANAK

1) Doa Nabi Ibrahim untuk dirinya dan keturunannya :

“Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang tetap mendirikan sembahyang, juga keturunanku, wahai Tuhan kami, terimalah permohonan ini” (Ibrahim:40)

2) Doa Nabi Ibrahim untuk dirinya dan Puteranya :


"Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) diantara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."(Al-Baqarah :128)


3) Doa Nabi Zakariya bila memperoleh cahaya matanya Yahya :
yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya'aqub; dan jadikanlah dia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai (Engkau)." (Maryam:6)


4) Doa Nabi Zakariya untuk Keturunannya :

'Di sanalah Zakariya mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa." (Ali-Imran:38)

0 comments: