Safwan ke Tokyo Part I

Alhamdulillah, sebagaimana yang telah direncana dan disempurnakan oleh Allah s.wt, saya dan rombongan lawatan seramai 7 orang telah pun selamat tiba ke negara matahari terbit Jepun kira-kira jam 7.53am 7 Mac 2010 tadi. Perjalanan menaiki pesawat MH088 mengambil masa kira-kira 6 jam 50 minit dari KLIA ke Narita International Airport sejauh hampir 6,759 km telah mendarat ketika cuacu sejuk menjangkau suhu 7 darjah celcius di Jepun.

Goto san, sahabat kami dari NEC (Japan) yang telah mengatur jadual kami di Jepun memaklumkan cuaca di Jepun kurang baik kerana 'extreme cold', 'rainy' dan 'windy'. Saya turut memaklumkan kepada beliau bahawa cuaca di Malaysia juga kurang baik kerana 'extreme hot'. Alhamdulillah pada hari Jumaat dan Sabtu sebelum bertolak, cuaca sudah mula berubah. Hujan lebat telah di turun pada pagi Sabtu.

Dari Malaysia lagi saya cuba membayangkan bagaimana untuk menghadapi perubahan dari cuaca extreme hot kepada extreme cold tersebut. Pada ketika catatan ini ditulis cuaca di Tokyo sangat sejuk sekitar 3 darjah celcius. Inilah pengalaman pertama saya berada di negara orang pada cuaca sejuk. Syukur saya sempat bertemu Pn. Adilah Rahmat salah seorang sahabat gD yang hampir 5 tahun menuntut di Jepun memberi serba sedikit panduan persiapan ke sana.

Turut serta bersama saya dalam perjalanan ini adalah Tn. Hj Mohd Nazri (UPSI), Pn. Nor Hashima (Sakata), Hj. Burhanuddin (Sakata), En. Abdul Muis (Pernec), En. Anthony (NEC) dan Pn. Pie Ling (Isteri Mr. Anthony).

Perjalanan pertama kami adalah dari Narita International Airport ke Hotel Penginapan di bandar Shinjuku, Tokyo. Selama tempoh 5 hari 4 malam di Jepun, Insyaallah kami akan menginap di Hotel Shinjuku Washinton Hotel.

Jepun sangat terkenal dengan kenderaan awam sebagai pengangkutan utama menghubungkan antara bandar. Ia terkenal kerana operasinya sangat berkesan dan ketibaannya sangat tepat. Sepanjang pemerhatian saya hari ini hampir separuh daripada kenderaan yang berada di atas jalan raya adalah pengangkutan awam terutamanya teksi dan bas. Kereta yang paling popular sebagai teksi disini ialah Toyota Crown. Kita mungkin jarang-jarang dapat berjumpa kereta ini di Malaysia. Keretanya petak sahaja, tapi bersih, pemandu yang berpakaian kemas beserta tali leher. Kebanyakkan pemandu adalah dari kalangan warga tua. Bandar Tokyo mempunyai ramai pekerja dikalangan orang tua generasi Baby Boomers. Dari pemandu teksi, bas, pemandu pelancong, penyambut tetamu di hotel dan di restoren.

Mungkin ada yang tertanya kalau di Malaysia dah sampai model Toyota Alphard, tentu di Jepun ada banyak lagi model kereta baru yang belum sampai ke negara kita. Sepanjang yang saya perhatikan hari ini, hampir semua yang ada di Jepun dan pun ada di Malaysia. Kancil, MyVi, Viva, Alphard, Wish, Premacy dan banyak lagi. Semuanya dah sampai di negara kita. Cumanya susah nak jumpa kereta-kereta ini di modify seperti di negara kita. Sport rim pun jarang-jarang ada. Apa yang dikeluarkan oleh kilang itulah yang mereka gunakan.

Saya bersembang dengan rakan-rakan lain. “Aku belum jumpa dalam banyak-banyak kedai di bandar Tokyo ini ialah klinik dan juga kedai jual kereta second-hand”. Tokyo memang berbeza dari Malaysia. Kedai yang paling banyak ialah kedai ala 7-Eleven. Banyak sangat. Barangnya sangat tersusun diserikan dengan pakejing yang sangat attractive. Suasana sangat ceria dalam kedai itu kerana pakejing produk yang menarik.

Memang barang mahal kalau dibandingkan dengan RM. Kalau nak beli sesuatu kita fikir dalam RM, kita tak akan beli apa-apa barang pun disana. 100 yen Jepun bersama dengan RM3.90. 1 botol air mineral 1.5 l berharga 185 yen bersamaan hampir RM8. Payung paling murah berharga 500 yen bersamaan hampir RM20. Makanan set adalah dari harga 500 yen ke 1500 yen. Mujur perjalanan ini di biayai oleh pihak yang berkenaan.

Secara ringkasnya hari ini jadual kami penuh dengan aktiviti melawat tempat-tempat pelancongan sekitar bandar Tokyo. Insyaallah saya akan usahakan upload gambar-gambar berkaitan perjalanan ini.

InsyaAllah esok hari bekerja, kami akan bertolak ke Iwate-ken menaiki bullet train selama hampir 3 jam untuk aktiviti Factory Acceptance Test (FAT).

Subuh disini jam 4.40am, kira-kira jam 5.40am di Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Catatan Ketiga Abi dan Ummi

Aliyah Husna, 3 tahun...

AURA FCA TO BE