"Aku Terima Borangnya"

Assalamualaikum w.b.t
Saudara ***iii5*** yang dirahmati Allah,
Andai itu tindakan nekad saudara, saya raikan (mungkin itu yg terbaik buat masa ni) , cuma saya ingin berpesan, supaya pergilah dengan hati yg lapang, pesanan kepada diri saya sendiri, mahupun diri saudara; jangan sampai kita berlalu dengan menyimpan seribu dendam, sejuta amarah dan jengkel di hati terkecil kita.
Maafkanlah semua orang supaya kita luhur dan lurus di jalan yg diredhaiNya.
Wassalam...
************************

Begitulah lewat email yang dihantar Asiah pagi itu. Dadanya lapang walaupun sebak mendasari jauh di dasar lubuk hatinya. "Masih belum menjadi lagi kali ini", getusnya sendirian. Ya Allah, pasti ada hikmah di sebalik setiap percaturan hidup setiap hambaMu, bukan?

Dia tidak mengenali penghantar email berkenaan, tetapi nalurinya seakan dapat meneka siapa penulisnya. Dengan gaya bahasa yang tersendiri, dengan maksud ayat per ayat yang penuh erti dan simbolik.

Biarlah Allah sahaja yang menentukan. Soal jodoh dan pertemuan ini, sebaiknya biarlah yang sekufu fikrahnya. Buat bekalan untuk beramal sepanjang hidup.

Asiah termenung mengalihkan pandangannya seketika ke jendela kolej kediamannya. Sekumpulan monyet yang sedang rancak bergayut di pepohonan rimbun di belakang bangunan kolejnya, langsung tidak menggugah isi lamunannya.

"Assalamualaikum"
"Waalaikumussalam"
"Ada apa anta call malam-malam ni?"
"Ana tak tahu lah kenapa ana tension sangat. bla..bla..bla.."

Matanya melirik ke jam tangannya, tepat jam 11.45 malam. Hairan ya kenapa dia menelefon aku semata-mata ingin mengadu masalahnya, masalah persatuan di kolejnya. Walaupun bukan masalah peribadi, namun sudah cukup Asiah menimbang setiap satu episod yang terlakar di hadapannya.

Asiah memang sudah bersedia menimbangkan soal jodoh ketika itu. Maklumlah sudah berada di tahun akhir. Kebanyakan rakan-rakannya sudahpun bertemu jodoh masing-masing sama ada dipinang, mahu pun meminang. Tidak kisahlah bagaimana prosesnya, asalkan di pengakhirannya "ada" seseorang untuk dilaporkan kepada kedua ibu bapa masing-masing nanti.

Asiah terus menimbang dan menilai. Satu persatu rakan seperjuangannya yang hadir bertamu bersama stigma. Namun masing-masing akhirnya berlalu dengan pengakhiran yang tersendiri. Asiah redha dan pasrah. Dia pun tidak berusaha keras ke arah itu. Masih lagi mengharapkan arah dari Tuhan.

"Asiah, ni ada borang 'seseorang'. Bagus dia ni. Nanti kau istikharah ye." Khadijah memberikan sekeping kertas kepada Asiah.

"Siapa?" Asiah menyambutnya dengan penuh debaran.

"Kalau dah sampai borang, ini namanya serius!...." balas Khadijah..dengan senyuman yang meleret.
Asiah menatap satu persatu butiran yang tertulis di atas kertas putih itu. Tangannya masih ada sisa getaran yang datang tanpa diminta.

MasyaAllah, Allah Maha Besar. Allah lah sebaik-baik pencatur yang mencaturkan hidup setiap hambanya. Pemilik biodata di dalam kertas itulah, seseorang yang menjadi jawapan yang tidak diminta Asiah ketika melakukan istikharah setahun yang lalu. Ya setahun yang lalu.

Basah sejadah hijau lusuh itu dengan air matanya saban malam. Hanya mendambakan petunjuk Ilahi waktu itu. Baru seminggu Asiah bermujahadah menekuni istikharahnya, petunjuk Allah semakin jelas.

"Asiah, kau jagalah Amir baik-baik ya" begitulah yang dipesankan oleh seorang tua, iaitu nenek Amir yang tidak pernah dikenalinya dalam hidupnya. Tetapi datang tiba-tiba dalam mimpinya malam itu. Petunjuk itu menjadi semakin kuat dalam perhitungannya. Mengapa Amir dan bukan Hisham? Sedangkan Hisham yang sedang dipertimbangkannya waktu itu. Sedangkan Asiah dengan Amir hanya sekadar kenal namanya sahaja. Tidak pernah mengenalinya lebih daripada Asiah mengenal namanya sahaja. Asiah tidak pernah bekerja sepersatuan dengannya, apatah lagi sefakulti!!

Malam demi malam, petunjuk ke arah Amir semakin jelas. Sehinggalah Asiah nekad dengan keputusannya yang dibuat terhadap Hisham. Asiah terpaksa menolak Hisham kerana sangat sedikit petunjuk yang memihak kepadanya. Walaupun dalam keterpaksaan, Asiah akur dengan ketentuan Tuhan. Kalau sudah terdesak, mahu sahaja diterimanya sahaja Hisham waktu itu. Namun, Asiah yakin dengan istikharahnya.

Hisham itu bukannya siapa sebenarnya. Lama Asiah mengenalinya, bekerja bersama dalam persatuan pelajar. Boleh juga dikatakan rapat, namun segalanya berbatas! Mereka faham tentang itu. Namun istikharah yang dilakukannya selama seminggu itu merupakan keputusan muktamad Asiah kepada Hisham.

"Fuad, minta maaf ana nak bertanya tentang sahabat baik anta, Hisham." pinta Asiah ketika berada di bilik gerakan semata-mata untuk mengenali Hisham melalui sahabat baiknya Fuad. Asiah ditemani oleh Suhana sehingga Suhana terlelap seketika gara-gara setia menemani misi penyiasatan Asiah, lagaknya.

Setelah pertanyaan demi pertanyaan dijawab dengan baik oleh Fuad, selaku sahabat baik Hisham, Asiah hampir 80 peratus mendapat jawapan yang dicari selama mendapat borang Hisham.

"Bagi ana, tak semestinya kita kawan baik akan berakhir dengan perkahwinan" Asiah mengutarakan pendapatnya di akhir perbincangan perisikan terhadap Hisham.
"Ana setuju dengan pendapat anti. Yang paling penting istikharah." balas Fuad.
"Ana harap anta dapat merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan sesiapa yang tidak berkenaan" Asiah mengingatkan.
"InsyaAllah, sudah pasti. Ana doakan semoga anti dipermudahkan dalam urusan besar ini.." Fuad mengakhiri pertemuan mereka pagi itu.
"InsyaAllah, doakan ana. Terima kasih atas kerjasama anta"
"Assalamualaikum"
"Waalaikumussalam"

Walaupun sudah 2 bulan berlalu, atas dasar sahabat, Asiah tidak berdiam diri. Asiah tidak mahu Hisham terkapai-kapai dalam pencariannya. Lalu, Asiah mengesyorkan sahabat baiknya untuk Hisham pertimbangkan. Akhirnya, hanya ucapan tahmid yang mampu diungkapkan apabila Hisham dapat menerimanya. Tinggallah epilog sunyi dan sepi buat Asiah. Dia yang memilihnya. Dia langsung tidak menyesal dengan keputusannya kerana dia amat yakin dengan panduan Tuhan yang diberikan kepadanya.

"Asiah, awat termenung ja ni? Aku duk tercegat kat sebelah hang pun hang tak perasan! Ingatkan duk baca artikel depan skrin komputer hang ni...tapi tengok mata hang tak berkelip pun..." bebel Khadijah lantas mematikan lamunan Asiah.

"Hisy kau ni Ijah...kut ye pun, bagilah salam dulu. Terkejut aku..." Khadijah mematikan lamunan panjang Asiah.

"Apa yang hang duk pikiaq tadi Yah, aku tengok serius bebenor kau menghadap komputer tu." Khadijah cuba memancing.

"Tak de apa pun Ijah...tiba-tiba aku teringat kat mak aku. Dah lama aku tak balik kampung" Asiah cuba menyembunyikan sesuatu yang memenuhi ruang legar mindanya tadi. Istikharah, Hisham, Amir.

"Iye ke ni?" Khadijah seakan tidak percaya.
"Eh Asiah, bila kau nak pulangkan borang 'seseorang' tu. Dah sebulan kau pegang. Dah ada apa-apa perkembangan positif ke?" bertalu-talu Khadijah menujukan soalan kepada Asiah.

"Oh, kau datang ni nak tanya pasal tu lah ye?" jawab Asiah tersenyum meleret.
"Iyelah, aku cuma nak tahu. Sebab dah tamat tempoh. Nanti orang sana tertanya-tanya pulak. Ke, kau nak lanjutkan tempoh?" Khadijah bertanya lagi.


"Hmmm....aku rasa untuk yang kali ini, insyaAllah, aku terima borangnya" jawab Asiah penuh yakin sambil membariskan giginya yang bersusun.
"Alhamdulillah, akhirnya.....tamatlah status belum berpunya untuk sahabat aku!!!" Khadijah mengucapkan syukur sambil memeluk erat sahabatnya, Asiah Yusra Bt Mohd Irfan.

Comments

Popular posts from this blog

Catatan Ketiga Abi dan Ummi

Aliyah Husna, 3 tahun...

AURA FCA TO BE