pohonhijau.com

Ukhuwwah Fillah, Mahabbah Lillah

Yang Mahal Itu Satu

Pohonhijau kini terlalu sepi tanpa tuannya. Sibuk kah atau 'apa'kah? Masa itu makhluk. Masa yang telah berlalu, tidak mungkin akan kembali. Benarlah seperti kata Imam Al Ghazali iaitu perkara yang paling jauh ialah masa yang telah pun berlalu. Sudah pasti ia tidak akan kembali.

Melihat gambar-gambar ketika zaman uda dan dara, ketika melangkah ke alam penuh barakah alam rumahtangga, zaman memiliki anak pertama dan seterusnya, itu semua masa yang telah pun dilalui. Perginya masa-masa itu bersama seribu satu rasa dan warna. Jika baik permulaannya, insyaAllah akan baik juga lah di pertengahannya. Namun itu semua bukanlah jaminan untuk segalanya berada dalam keadaan yang baik-baik, manis-manis belaka sehingga ke titik yang terakhir. Semoga Allah sentiasa memandu kita dengan taufik dan hidayahNya. Mohon agar Allah tidak sesekali mengkesampingkan diri dan keluarga kita walaupun sekelip mata tanpa inayahNya. Na'uzubillah.

Roda & Rona Sentiasa Berputaran

Berputarnya roda untuk mencapai keseimbangan. Keseimbangan antara akal dan jasad, iman dan nafsu - satu perkara yang paling besar untuk ditangani dan diakali ketika hidup di dunia ini (menurut kata hikmah Imam Al-ghazali). Allah tidak selamanya menurunkan hujan tanpa memberikan sang mentari yang memanasi. Allah jua tidak kan selamanya memberikan pelangi tanpa memberikan apa itu rasanya sahara di padang pasir. Begitulah rencah yang diajarkan Allah kepada alam, supaya manusia yang berakal ini berfikir mengapa dan kenapa Allah memberikan itu semua kepada makhlukNya, mengapa Allah menghidangkan semua ini di medan ujian ini. Semoga Allah memberikan "nikmat kerehatan" ketika matinya anak Adam yang sentiasa memanfaatkan akalnya untuk sentiasa berada di landasanNya ketika hidup di dunia, yang lulus dengan setiap ujianNya..


Hidup Ini Tidak Lama Mana

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan anak-anak muridnya. Lalu Imam bertanya, "Apakah perkara yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?

Lantas muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman akrab dan kerabat keluarga.

Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan manusia adalah "MATI". Sebab Allah telah berjanji bahawa setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Jika 3 tahun lepas, si ibu terkenangkan betapa jerih membawa kandungannya siang dan malam, betapa tidak terkatanya sakitnya melahirkan sang putera dan puterinya, namun sekarang ini putera mahu pun puterinya sudah pun melangkah ke alam persekolahan yang mampu berdikari dengan sendiri, alhamdulillah. Bukankah sebentar sahaja masa itu berlalu?

Beruntunglah seseorang yang sentiasa bersahabat dengan masa. Masanya akan sentiasa mengingatkan akan sahabatnya akan tanggungjawabnya sebagai hambaNya. Tanggungjawab meladeni ibu dan bapanya. Tanggungjawab memekarkan ukhuwwah bersama sahabatnya. Sungguh, kuasa ukhuwwah fillah itu sungguh luar biasa. Ia bagaikan hujan yang lebat menyirami sekeping tanah yang kudus dan gersang. Lantas kuasa ukhuwwah itu juga, menyuburkan IMAN kepada Al-Khalik. Terima kasih sahabat-sahabatku...jam biologi sudah meronta tak mampu menanggung rindu kepada ukhuwwah kita. Pertemuan kita, walaupun sebantar, telah menghilangkan kegusaran hati yang panjang, kecelaruan rasa yang bersirat.


Kehadiran kalian menjadikan aku sangat kaya. Aku punya rumah di mana-mana. Di Desa Saujana, di Desa Putra, di Sg. Udang, di Lukut, di Tangga Batu, di Kg. Tehel, di Batu Pahat, di Skudai, di Chini, di Kelana Jaya, di Taman Medan, di Cheras, di Temerloh, di Kg Delek, di Kubang Rotan dan di mana-mana lagi. Begitulah yang dipesankan oleh Luqman Al-Hakim kepada sang anak. Buatlah rumahmu di mana-mana yang engkau pergi, nescaya engkau akan bahagia. Berukhuwwahlah walau ke mana engkau pergi, kerana di situ adanya berkat.

Yang Mahal Itu Satu

Kerana yang mahal itu satu, oleh kerana itu jugalah perjalanannya juga menuntut kepada pengorbanan mujahadah dan istiqamah yang jua mahal harganya untuk dibayar oleh iman dan acapkali ditawar-menawar oleh sang nafsu dan makhluk yang dilaknat Allah.

Selamat memperbaharui iman, selamat memperkasa CINTA kepada Yang maha Memberi, selamat menggandakan amalan sebagai isteri di dalam perkampungan barakah, sentiasalah meminta redha suamimu, semoga dengan itu menjadi asbab (antara asbab) untuk mendapat hadiah kepada tiket termahal dan ter'mudah' untuk memasuki pintu masuk Syurga Allah, insyaAllah.

Selamat menjadi suami yang SOLEH, selamat menjadi anak yang soleh, semoga Allah dan malaikat hanya mengira amal yang baik sahaja daripadamu wahai imamku.

0 comments: