"Siapa Aku Di Mata Imamku"



🌹Bismillahi wa alhamdulillah, kurafa'kan segala kesyukuran buat Yang Maha Memberi rasa, kasih sayang serta rahmatNya yang tidak pernah bertepi. Sesungguhnya segala yang kita lalui sama-sama hari ini, adalah datang dan berlaku dengan izinNya. Sesungguhnya, setiap kerdipan mata kita adalah dalam percaturanNya jua. Syukur Ya Rahman, Ya Rahim atas nikmatMu yang masih Kau pinjamkan lagi kepada diriku, diri Imamku, jua kerabat keluargaku, sahabat-sahabatku semuanya, alhamdulillah.🤲🏻


🌹Sesungguhnya diri ini, tidaklah selayaknya menarikan pena untuk membaitkan berbaris nota untuk tatapan sahabat syurga semua. Namun, demi sahabatku Norbayah yang satu itu, kugagahi jua jari-jemariku menarikan keyboard ini, moga ada sedikit manfaat dan kebaikan untuk bekalan kita mendepani detik-detik kehidupan kita seterusnya, insyaAllah.


🌹Semenjak saya mengenali seorang posmen pencen itu, cara pandang aku lebih bersinergi terhadap imamku. Yalah, ada yang jodoh datang dalam keadaan dirancang [UBM], ada yang tidak dirancang [match maker] dan lain-lain bentuk jodoh itu didatangkan olehNya. Namun semuanya dengan izinNya, baharulah ia terjadi dan termetri sehingga ke hari ini. Walau siapa pun ‘dia’…dialah Imam yang Allah hadiahkan buat kita, untuk kita syukuri setiap detik, dari awal dulu hinggalah ke detik ini. 


🌹Maafkan daku, duhai Imamku, jika aku terlepas tutur nada lunak seperti minggu pertama kita  diijabqabul, maafkan aku duhai Imamku, andai tidurnya diriku di sebelahmu, diriku berbau bawang dan gorengan ikan ketika aku sedang sibuk di dapur sediakan makan malam kita tadi, maafkan daku, andai aku terlalu memberikan keletah pujian dan perhatianku terhadap anakanda kita yang baru pandai merangkak itu….maafkan aku duhai Imamku, andai aku tertinggi suara kerana sebab jarak, abang di depan, ana di dapur, untuk bagitahu, “abang, tolong ambilkan serai, abang tolong buangkan sampah” saban waktu-waktu yang berlalu dulu. 


🌹Maafkan juga akan diriku duhai imamku, aku terculas lupa mencalit seoles 💄lipstick dibibirku agar tidak nampak kusam, selepas mandi 🚿balik kerja petang tadi, mencalit bedak untuk menutup cela jeragatku (dek diriku dimamah usia) daripada pandanganmu, sebab kalut mungkin siang ikan dan udang di dapur…..


🌹Maafkan aku, andai aku terkuat suara, terkejut sebab melihat abang boleh tekun membaca berita Corona Virus di internet, berbaring di sofa kita, sedangkan para anakanda kita di dalam bilik, sedang bergelumang sepahkan bedak, dan aku kononnya busy sangat menyiapkan hidangan istimewa tengahari kita bersama itu…..


Maafkan daku, wahai Imamku, andai aku terlepas pandang dan terlepas faham, untuk menuangkan kopi ☕dan air phyto sejuk kegemaran abang setiap kali abang balik surau selepas Isyak….Maafkan daku, walaupun jauh sekali abang mahukan kesempurnaan itu, namun, kadang-kadang aku tertewas dengan bisikan syaitan 😈yang direjam…[semua kerja rumah, aku yang buat, aku lelah, cari duit pun aku  bla…bla...bla…syaitan mencucuk]


🌹Posmen tua pencen itulah yang sentiasa mengingatkan, “Sebelum tidur, ambil tangan abang, sebutkan minta maaf abang, salah silap ayang”. Mula-mula memang aku rasa sebal, aku degilkan diri, buat apa aku nak meminta maaf, bukan aku yang salah, abang yang seakan tidak memahami, kudratku yang satu ini, inilah kudrat untuk aku melangsaikan khidmatku di sekolah/di ofis/tempat kerja, dah penat balik kerja, aku jugalah yang kena beli barang dapur untuk makan malam kita, sediakan makan malam kita, baju, persiapan sekolah anak esok paginya bla..bla..bla..


🌹“Abang, ayang minta maaf, salah silap ayang kat abang”. Lafaz pertama kupaksa tutur lidahku. “Ish, kenapa pula ni?” balasnya. “Jom abang, kita tidur”..Begitulah setiap malam tidurku dipagari dengan rasa kemaafan yang tidak bertepi kepadanya. Allah sahaja yang tahu, hati ini semakin tenang, hati ini, semakin dipenuhi sinar cinta seperti awwalan ijabqabulku. 


🌹Semuanya kerja syaitan, yang menghasut dalam hati kita dan dia. Hakikatnya , syaitan itulah lawan kita, bukannya pasangan kita. 


🌹Sentiasa ingat, kebaikan dan kelebihan pasangan kita lebih banyak berbanding keburukan dan kelemahannya.


🌹Jadilah orang pertama memulakan langkah ke arah pembaikan kerana Allah, sesungguhnya Allah cinta kepada orang yang dahulu berbuat baik. Meminta maaf, mengakui kesalahan dan kekhilafan diri bukan bererti kalah tetapi itulah kemenangan sebenar di sisi Allah. Wallahu a’lam. 

JuruMudi pohonHijauku🌳

Comments

Popular posts from this blog

Catatan Ketiga Abi dan Ummi

Aliyah Husna, 3 tahun...

AURA FCA TO BE