pohonhijau.com

Ukhuwwah Fillah, Mahabbah Lillah

Perjuangan Seorang 3

Benarlah segalanya adalah perancangan yang datangnya dari Allah. Segala yang berlaku itu semuanya dari Dia. Tidak perlu dan usah lagi disangkal. Persis dan jitu.

Menjadi Hebat Satu Pilihan

Bila dibuat penyelidikan, ditanya soalan kepada semua orang di dunia ini,"Adakah kamu mahu menjadi hebat?"

Sudah pasti hampir 100 % memberikan jawapan "Ya, saya mahu menjadi hebat!" Menjadi hebat seperti siapa, dan menjadikan item apa yang mahu dihebatkan itu adalah persoalan kedua. Semua mahu menjadi hebat dengan acuan masing-masing. Dengan proses 'menjadi hebat' jalan masing-masing. Seperti mana ingin menjadi dodol yang hebat dan sedap! Lagi lama dikacau, lagi tanak, lagilah sedap. Apatah lagi kalau dodol yang dikacau dengan jerih perih payah mayah itu adalah dodol yang berperisa durian dan sebagainya.

Biarpun prosesnya lama, tapi matlamatnya hanya satu! Ingin menjadi dodol yang hebat! Dodol yang sedap! Biarlah Mak Cik Semah asyik ditegur oleh Mak Cik Sarah, mengapa dodol Mak Cik Semah belum masak-masak lagi, asyik dikacau tak sudah-sudah..."Aku pun buat dodol jugak, tapi idak le asyik nak dikacau lama macam kome buat..." leter Mak Cik Sarah ketika melintasi rumah Mak Cik Semah ketika balik dari kedai berhampiran.

Evolusi organisma juga hanya akan berlaku kepada organisma yang hebat sahaja. Gen-gen yang hebat sahaja akan terus bermandiri melawan arus persekitaran yang juga semakin hebat. Dalam peredaran masa itulah gen-gen yang lemah tadi akan dilenyapkan, dan akhirnya akan terbentuklah takungan gen-gen yang hebat untuk terus survive dalam arus perdana.

Kedudukan 2 & 3 Itu Rupanya Tidak Sama

vs

2 dan 3 adalah antara pelajar yang berada dalam kelas 1 Pluto di Sekolah Integrasi Samudera Raya. Pelajar-pelajar lain seperti 4, 8, 9, 24, 2 dan 3 adalah antara pelajar yang berada dalam kategori pandai dan pelajar contoh.

Dalam Ujian Akhir Tahun, mereka kesemuanya dalam satu kelas bertungkus lumus untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam ujian tersebut. Akhirnya keputusan tempat pertama kedudukan dalam kelas diperolehi oleh 24, 3 mendapat tempat kedua manakala 2 mendapat tempat ketiga.

2 dan 3 tidak berpuas hati kerana kedudukan keputusan ujian mereka tidak selari dengan identiti mereka. Mereka mengadukan masalah itu kepada guru kelas mereka, Cikgu S agar mereka dapat menukarkan kedudukan mereka, 2 mengambil tempat nombor dua, manakala 3 mengambil tempat nombor 3. Mereka mengatakan mereka kurang selesa dan pening apabila identiti mereka yang kebetulan sama dengan istilah kedudukan dalam kelas itu iaitu satu, dua dan tiga. Mereka tidak hairan dan mengambil peduli dengan kedudukan nombor satu, kerana mereka lebih berminat dengan nombor yang sama dengan identiti mereka sahaja.

Cikgu S menerangkan dengan berhikmah kenapa 2 dan 3 tidak boleh menukar kedudukan keputusan dalam ujian akhir tersebut. 2 mendapat markah keseluruhan pelajaran 92.3% sebab itu 2 mendapat tempat ketiga, manakala 3 pula mendapat 95.1%, layaklah 3 dapat tempat kedua. Sebab markah 3 lebih tinggi daripada markah 2!

Perkara tersebut berlanjutan sehinggalah mereka memasuki sekolah menengah. Mereka masih lagi berada dalam satu kelas yang sama. Daripada Tingkatan 1 sehingga mereka Tingkatan 5, persaingan mereka adalah pada mendapatkan kedudukan tempat dalam peperiksaan yang selari dengan identiti mereka. Namun tidak juga berjaya. 2 tetap mendapat nombor tiga manakala 3 tetap mendapat nombor dua. Walaupun mereka tidak mahu, tetapi itulah kedudukan akhir mereka.

Ditakdirkan 2 dan 3 ini jodohnya panjang, kerana mereka juga mengambil jurusan yang sama di Universiti UK. Namun demikian, pada setiap akhir semester, keputusan mereka tetap begitu. 2 mendapat CGPA 3.12, manakala 3 pula mendapat CGPA di bawah 3, 2.58.

Setelah menempuhi alam kampus, mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat Master. Rupa-rupanya di sinilah perbezaan mereka. 2 diterima melanjutkan pelajarannya ke peringkat Master di bawah tajaan Universiti BD sehinggalah 2 menamatkan PhDnya. Tingallah 3 termangu-mangu mencari peluang sehabis baik kerana 3 juga ingin mendapatkan Master dan Phd seperti yang diperolehi oleh 2.

Timbul di benak 3, kenapa sekarang aku masih tidak boleh sama dengan 2. Aku kan 3, tapi kenapa orang memandang aku sebagai dua (dalam keputusan CGPA aku). Ini tidak adil!! Ah!! Meritokarasi la, apa lah!! Semua tak layak!! Apa yang ada pada tiga? Apakah dua tidak boleh menjadi tiga akhirnya? Apabila dua itu sudah ditambah dengan satu!!!!!!???

Begitulah akhirnya 3 dengan ketidak puasan hatinya kerana 2 seringkali mengambil tempatnya. Memanglah di sekolah dulu, aku selalu mahukan tempat aku, nombor tiga , tempat ketiga. Dulu sama-sama dapat hadiah. Tapi sekarang tidak lagi. 2 dah pergi sangat jauh tinggalkan aku. Dia dah dapat PhD lagi tu dengan tempat kedudukan aku, CGPA 3.++. Aku??!!@#$%%^&*?



"Aku mesti mendapatkan nombor aku semula!!!" azamnya sendirian....

Berkelana Di Bumi Tuhan



Aku berkelana di bumi Tuhan
Bumi milik Tuhan
Isinya juga milik Tuhan
Mencari satu jawapan kepada banyak persoalan
Persoalan hidup, bekalan hati dan iman

Aku berkelana di bumi Tuhan
Ke satu arah yang rawak sekali
Serawak zarah mengeliling nukleus
Semata untuk menjadikannya bebas dan kukuh!!

Aku berkelana di bumi Tuhan
Mencari dan terus mencari
Penemuan kepada satu titik yang bisa memancar
Memancar sinar buatku
Lantas seisi alam

Aku terus berkelana hari ke hari
Not-not seakan berterbangan
Membayar tambang sebuah perkelanaan
Petrol, nasi dan lauknya
Hari ke hari

Aku berkelana di bumi Tuhan
Kerana aku amat yakin di sana
Di penghujung jalan nanti
Aku bertemu kepada jawapan
Sepertimana jawabnya 2 + 2 = 4
Lantas!! Membayar sekaligus tahunku yang berlalu

Buat sahabatku yang dikasihi, berkelanalah kita, kerana tujuan kita adalah SATU!! Ukhrawi yang abadi...

Air Mata Tarbiyah

"2, 4, 6, 8, 10" seringgit.
"2, 4, 6, 8, 10" dua ringgit. Ligatnya dan penuh berhati-hati jari Anis mengira syiling di kotak syiling di bahagian dashboard kereta, sambil si suami memandu penuh perhatian. Menuju ke sebuah warung untuk pasangan ini mengisi perut yang kian meronta untuk diisi. Lapar.

"Allah uji kita sungguhkan, Anis?" balas Faris.
"Ujian itu kan tanda Allah sayang...kalau Allah tak bagi ujian sebegini, mungkin kita makin jauh dengan Allah...siapa tahu?" Anis menenangkan perasaan suaminya. Dia tahu Faris sedang merasa serba salah dengan kekangan kewangan yang berlaku dari sehari ke sehari. Sehelai demi sehelai duit tabungan mereka, tabung perniagaan, diambil untuk membeli barang dapur, kalau tidak manakan berasap. Anak-anak lagi, amanah yang perlu dilangsaikan tanggungjawabnya sebagai ayah dan ibu yang menyara hidup mereka. Lantaran Faris tidak menerima gajinya pada bulan lepas, kerana syarikat tempat dia bekerja mengalami sedikit masalah kewangan.

"Alhamdulillah, semuanya ada RM13.00. InsyaAllah, cukup untuk belanja makan tengah hari kita berdua. Pilihlah lauk yang paling murah." Anis bersuara mematikan lamunan panjang Faris.
Sekonyong-konyong mereka keluar dari pintu kereta, datang seorang hamba Allah ke arah mereka untuk memohon derma untuk kebajikan sebuah sekolah agama swasta.

Kebiasaannya, itulah realiti yang mungkin pernah kita hadapi. Lantaran hanya itu sahaja duit yang kita ada, waktu tu jugalah akan datang ujian daripada Allah untuk menguji hambaNya, sama ada untuk memberi, mahu pun tidak. Perasaan dalam diri semestinya sedang memperdebatkan antara iman dan nafsu, perihal, antara beri apa yang sedikit itu, mahu pun menggunakan yang sedikit itu untuk keperluan dan kepentingan diri sendiri.

Susah Itu Ujian, Senang Juga Ujian

Allah beri kita sedikit pengalaman menghadapi ujian yang sukar, sangat mengesankan untuk kita kembali ingat padaNya. Ya Allah, terima kasih atas tarbiyah ini, kerana tarbiyah ini, kerana ujian inilah aku mampu menangis di hadapanMu, aku mampu menangisi keperitan azabMu yang lebih besar, di alam kubur, di mahsyar mahupun di neraka (nauzubillahi minzalik), aku juga mampu menangisi ketika sujudku tatkala memohon dan merayu-rayu kepadaMu. Aku juga mampu untuk menangisi di atas rasa syukurku di atas nikmat tangisanku yang bersungguh-sungguh, tangisanku kerana terasa diriku sangat hampir denganMu.

Allah juga boleh memberikan dengan mudahnya nikmat senangnya hidup kepada kita. Kesenangan dan kekayaan itulah ujian yang sangat besar kepada iman. Alangkah indahnya penitian hidup kita kepada ujian berupa kesenangan ini, dipandu oleh petunjuk Allah. Sama-sama kita memohon agar kita sentiasa berada di dalam petunjukNya, boleh menangisi kesyukuran di atas nikmat yang diberikan, memandu hati dan iman agar sentiasa ikhlas, memenjarakan nafsu untuk mengekangnya daripada membisikkan sesuatu yang boleh menggelincirkan iman dan taqwa dari landasannya yang sebenar.

Apabila Iman Mula Berperanan

"Anis tak rasa, abang ni teruk ke? Yelah, sampai kehabisan duit untuk belanja makan minum. Lepas tu, mintak pula duit Anis. Tak cukup lagi, pinjam pulak duit tabung bisnes.." luah Faris menduga Anis.

"Abang, Anis lagi suka hidup dalam keadaan macam ni. Bila dalam keadaan macam ni, bukan kah kita sebelum ni teramat jarang solat malam, kita dah boleh bangun solat malam. Sebelum ni kita jarang sangat solat dhuha, sekarang ni, alhamdulillah, kita sedang memperbaiki amalan sunat yang sangat dituntut itu."

"Sujud terakhir kita di dalam setiap solat juga kian bermakna bukan, semenjak hadirnya tarbiyyah Allah ni, bang?" terang Anis.



Iman kita lebih fokus untuk melentur TAQWA apabila saat diuji. Hati juga sentiasa berpaut kepada mengharapkan rahmat Allah dalam setiap saat dan ketika di kala ini. Kita tidak mampu mengharungi setiap ujian itu sendirian, apatah lagi ujian berupa kesenangan. Semuanya atas belas ihsan Allah, atas kasih sayang Allah untuk kita terus menempa dan mengharungi setiap terma ujian sukar mahupun ujian kemudahan dalam penitian hidup.

Allah Maha Mendengar Doamu, Lagi Sangat Suka Mendengar Doamu!!

“Ummu Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorangpun daripada kalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah, ayat 156 surah al-Baqarah, kemudian berdoa),


اِنَّا لِلَّهِ وَاِنَّا اِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ, اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيْبَتِي وَاخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا


Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya Allah, berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik.” Hadis Riwayat Muslim

Itulah kasih sayang Allah. Petunjuk yang sangat jelas telah diberikan lagi diterangkan lagi oleh tunjuk ajar Nabi Muhammad s.a.w. Panduan yang sangat bermakna, memaknakan sebuah ujian dalam kehidupan, mengasimilasikan dan mengadaptasikan tarbiyyah dalam melentur iman, menyubur TAQWA, tidak lain dan tidak bukan, menuju redhaNya.

Kita tidak akan mengecapi syurgaNya dengan banyaknya amalan kita, apatah lagi jika ianya sedikit dalam timbangan neracaNya. Tidak juga dengan duit dan harta yang banyak apabila kita sedekahkan walaupun hanya untuk ke jalanNya. Tidak juga dengan bilangan anak yang ramai yang soleh solehah. Tidak juga dengan hanya ilmu, sedekah. Hanya tiket REDHA dan RAHMAT Allah jua yang dipinta mengatasi segalanya.

Kisah Allah meredhai seorang perempuan yang latar belakangnya jelek, hanya semata-mata dia ikhlas dengan penuh rasa kehambaan, mengasihani anjing yang kehausan, dengan susah payahnya dia mengambilkan air di dalam perigi dengan kasutnya. Allah membayar tunai perbuatannya itu dengan SYURGA! Subhanallah.

Berdoalah! Usah biarkan iman mengenal erti putus asa dan putus harap dengan lambatnya doa itu dikabulkan. Allah pasti mengabulkan. Kerana persoalan BILA itu adalah hak Alllah. Untuk menilai sejauh mana seseorang hamba itu mampu melenturi lagi menyuburi IMAN dan TAQWAnya....