pohonhijau.com

Ukhuwwah Fillah, Mahabbah Lillah

Air Mata Tarbiyah

"2, 4, 6, 8, 10" seringgit.
"2, 4, 6, 8, 10" dua ringgit. Ligatnya dan penuh berhati-hati jari Anis mengira syiling di kotak syiling di bahagian dashboard kereta, sambil si suami memandu penuh perhatian. Menuju ke sebuah warung untuk pasangan ini mengisi perut yang kian meronta untuk diisi. Lapar.

"Allah uji kita sungguhkan, Anis?" balas Faris.
"Ujian itu kan tanda Allah sayang...kalau Allah tak bagi ujian sebegini, mungkin kita makin jauh dengan Allah...siapa tahu?" Anis menenangkan perasaan suaminya. Dia tahu Faris sedang merasa serba salah dengan kekangan kewangan yang berlaku dari sehari ke sehari. Sehelai demi sehelai duit tabungan mereka, tabung perniagaan, diambil untuk membeli barang dapur, kalau tidak manakan berasap. Anak-anak lagi, amanah yang perlu dilangsaikan tanggungjawabnya sebagai ayah dan ibu yang menyara hidup mereka. Lantaran Faris tidak menerima gajinya pada bulan lepas, kerana syarikat tempat dia bekerja mengalami sedikit masalah kewangan.

"Alhamdulillah, semuanya ada RM13.00. InsyaAllah, cukup untuk belanja makan tengah hari kita berdua. Pilihlah lauk yang paling murah." Anis bersuara mematikan lamunan panjang Faris.
Sekonyong-konyong mereka keluar dari pintu kereta, datang seorang hamba Allah ke arah mereka untuk memohon derma untuk kebajikan sebuah sekolah agama swasta.

Kebiasaannya, itulah realiti yang mungkin pernah kita hadapi. Lantaran hanya itu sahaja duit yang kita ada, waktu tu jugalah akan datang ujian daripada Allah untuk menguji hambaNya, sama ada untuk memberi, mahu pun tidak. Perasaan dalam diri semestinya sedang memperdebatkan antara iman dan nafsu, perihal, antara beri apa yang sedikit itu, mahu pun menggunakan yang sedikit itu untuk keperluan dan kepentingan diri sendiri.

Susah Itu Ujian, Senang Juga Ujian

Allah beri kita sedikit pengalaman menghadapi ujian yang sukar, sangat mengesankan untuk kita kembali ingat padaNya. Ya Allah, terima kasih atas tarbiyah ini, kerana tarbiyah ini, kerana ujian inilah aku mampu menangis di hadapanMu, aku mampu menangisi keperitan azabMu yang lebih besar, di alam kubur, di mahsyar mahupun di neraka (nauzubillahi minzalik), aku juga mampu menangisi ketika sujudku tatkala memohon dan merayu-rayu kepadaMu. Aku juga mampu untuk menangisi di atas rasa syukurku di atas nikmat tangisanku yang bersungguh-sungguh, tangisanku kerana terasa diriku sangat hampir denganMu.

Allah juga boleh memberikan dengan mudahnya nikmat senangnya hidup kepada kita. Kesenangan dan kekayaan itulah ujian yang sangat besar kepada iman. Alangkah indahnya penitian hidup kita kepada ujian berupa kesenangan ini, dipandu oleh petunjuk Allah. Sama-sama kita memohon agar kita sentiasa berada di dalam petunjukNya, boleh menangisi kesyukuran di atas nikmat yang diberikan, memandu hati dan iman agar sentiasa ikhlas, memenjarakan nafsu untuk mengekangnya daripada membisikkan sesuatu yang boleh menggelincirkan iman dan taqwa dari landasannya yang sebenar.

Apabila Iman Mula Berperanan

"Anis tak rasa, abang ni teruk ke? Yelah, sampai kehabisan duit untuk belanja makan minum. Lepas tu, mintak pula duit Anis. Tak cukup lagi, pinjam pulak duit tabung bisnes.." luah Faris menduga Anis.

"Abang, Anis lagi suka hidup dalam keadaan macam ni. Bila dalam keadaan macam ni, bukan kah kita sebelum ni teramat jarang solat malam, kita dah boleh bangun solat malam. Sebelum ni kita jarang sangat solat dhuha, sekarang ni, alhamdulillah, kita sedang memperbaiki amalan sunat yang sangat dituntut itu."

"Sujud terakhir kita di dalam setiap solat juga kian bermakna bukan, semenjak hadirnya tarbiyyah Allah ni, bang?" terang Anis.



Iman kita lebih fokus untuk melentur TAQWA apabila saat diuji. Hati juga sentiasa berpaut kepada mengharapkan rahmat Allah dalam setiap saat dan ketika di kala ini. Kita tidak mampu mengharungi setiap ujian itu sendirian, apatah lagi ujian berupa kesenangan. Semuanya atas belas ihsan Allah, atas kasih sayang Allah untuk kita terus menempa dan mengharungi setiap terma ujian sukar mahupun ujian kemudahan dalam penitian hidup.

Allah Maha Mendengar Doamu, Lagi Sangat Suka Mendengar Doamu!!

“Ummu Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorangpun daripada kalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah, ayat 156 surah al-Baqarah, kemudian berdoa),


اِنَّا لِلَّهِ وَاِنَّا اِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ, اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيْبَتِي وَاخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا


Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya Allah, berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik.” Hadis Riwayat Muslim

Itulah kasih sayang Allah. Petunjuk yang sangat jelas telah diberikan lagi diterangkan lagi oleh tunjuk ajar Nabi Muhammad s.a.w. Panduan yang sangat bermakna, memaknakan sebuah ujian dalam kehidupan, mengasimilasikan dan mengadaptasikan tarbiyyah dalam melentur iman, menyubur TAQWA, tidak lain dan tidak bukan, menuju redhaNya.

Kita tidak akan mengecapi syurgaNya dengan banyaknya amalan kita, apatah lagi jika ianya sedikit dalam timbangan neracaNya. Tidak juga dengan duit dan harta yang banyak apabila kita sedekahkan walaupun hanya untuk ke jalanNya. Tidak juga dengan bilangan anak yang ramai yang soleh solehah. Tidak juga dengan hanya ilmu, sedekah. Hanya tiket REDHA dan RAHMAT Allah jua yang dipinta mengatasi segalanya.

Kisah Allah meredhai seorang perempuan yang latar belakangnya jelek, hanya semata-mata dia ikhlas dengan penuh rasa kehambaan, mengasihani anjing yang kehausan, dengan susah payahnya dia mengambilkan air di dalam perigi dengan kasutnya. Allah membayar tunai perbuatannya itu dengan SYURGA! Subhanallah.

Berdoalah! Usah biarkan iman mengenal erti putus asa dan putus harap dengan lambatnya doa itu dikabulkan. Allah pasti mengabulkan. Kerana persoalan BILA itu adalah hak Alllah. Untuk menilai sejauh mana seseorang hamba itu mampu melenturi lagi menyuburi IMAN dan TAQWAnya....

1 comments:

UMMUSHIFA' said...

assalammualaikum sahabat..
Moga Allah merahmati kasih sayang kita dalam meneruskan perjuangan kehidupan demi Islam tercinta..syukran kerana sentiasa disisi..
"cerminan buat diri..lihatlah sahabat kita,sifat mulianya umpama tempias yg membasahi diri..percikan yg membahagiakan..."

22 January 2010 at 21:06