pohonhijau.com

Ukhuwwah Fillah, Mahabbah Lillah

Pembelajaran Sepanjang Hayat

Salam kebahagiaan untuk semua...semoga Allah melimpahi hidup kita dengan rahmat, barakah dan inayah sehingga pengakhiran hidup kita..satu matlamat yang pasti, syurga Allah, dan seterusnya melihat wajah Allah di sana kelak, insyaAllah. Apa yang ditindakkan hari ini, ku mohon agar Allah senantiasa memberikan petunjukNya, apa yang dirancangkan untuk hari esok nan mendatang, jua kupohonkan agar senantiasa berada di bawah naungan petunjukNya.

Salam @ Mini gD

Baru-baru ini sempat juga kami berziarah memenuhi jemputan ke rumah Kak Hasni dan Sahudin di Sentul. Alhamdulillah, nasi Kurzi istimewa hidangan dari Johor. Walaupun kami sampai agak lewat, namun sangat bermakna kerana sempat dan dapat bersua muka dengan Awe, Us Firdaus dan Uwais, Shahrul, Rohana dan Mukmin yang semakin meng'hero', dan Mujahid yang sudah bersedia menjadi abang ;) (lagaknya ketika bermain dengan Aisyah Salwa). Hari yang sama juga jemputan daripada Kak Rohana Mohd Nawi/ Us Najman di Sg. Buloh. Maaf sangat tak kesampaian nak ke sana. InsyaAllah, ada rezeki kita berjumpa.

Selamat berangkat untuk Awe dan Us Firdaus ke tanah suci, semoga mendapat Haji yang mabrur. Doakan agar kami semua adik-adik gD serta warga gD yang lain akan menyusul jua menjadi tetamu Allah sewaktu umur masih muda. Kerana ketika umur yang muda inilah, kita dapat merasai kemanisan dalam beribadah. Yang penting niat dan tekad untuk mendapat keampunan Allah, dan penyerahan sepenuhnya kehidupan ini kepadaNya Yang Maha Berkuasa lagi Maha Menentukan.

Tahniah buat sahabat Norbayah, Ein di atas kelahiran putera Ammar Shafi Bin Shahrul Zaman. Semoga Allah merahmati kalian, dengan limpahan rahmat dan kasih sayangnya. Didoakan juga buat sahabatku Huda Senawi yang sedang diuji, insyaAllah, berkat doa yang tulus segalanya akan selamat.

Belajar Sepanjang Hayat

Hati ini sangat melonjak untuk mengisi kekosongan ruang yang ada di pohonhijau.com, namun dengan kekangan masa yang membatas, namun apapun, walaupun sedikit, saya cuba juga untuk menulis. Apabila isinya sudah sarat, akhirnya menimbulkan sindrom tak tahu nak tulis yang mana satu, idea-idea yang timbul secara spontan akhirnya hilang begitu sahaja. Sayang bukan?

Belajar tidak semestinya kena berada di sekolah, di institusi tertentu yang perlu diprogramkan dan disistemkan. Belajar adalah hak individu dan boleh dilakukan di mana sahaja, di kebun dan ladang kelapa sawit, di rumah, dalam kapal terbang, kapal laut dan lain-lain.

Yang penting seseorang itu perlu ada niat untuk meningkatkan ilmunya hatta ilmu masak-memasak, ilmu kesihatan, ilmu pendidikan anak-anak, ilmu psikologi, ilmu menangani stress, ilmu pertahanan diri, ilmu membawa kenderaan, ilmu penampilan diri, ilmu menjana taqwa, ilmu penulisan, ilmu bahasa serta ilmu-ilmu yang berkaitan asalkan ada peningkatan dalam pengetahuan kita dari sehari ke sehari. Usah malu dengan umur yang memasuki ke 3 dekad, masih masuk ke dalam kelas mengaji, kelas bahasa Inggeris, kelas tajwid, kelas komputer, kelas fardhu ain dan sebagainya. Ilmu itu milik Allah, hatta kita telahpun menggenggam title PhD sekalipun, usah sesekali berbangga dengan gelaran Dr. yang diterima. Banyak fenomena yang berlaku, seseorang apabila memperkenalkan dirinya yang mempunyai gelaran Dr.ini, akan "stress"kan pengucapan nama Dr. nya. Agak tinggi juga suaranya menegur apabila orang lain tidak memanggilnya Dr.

Hakikat Persamaan

Dr., Profesor, Emeritus, kuli, amah, mak cik, pak cik, semuanya sama di sisi Allah, yang membezakannya adalah taqwa. Seseorang yang banyak duit, banyak aset, banyak kedai dengan seseorang yang cukup-cukup duitnya, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang juga sama di sisi Tuhannya. Tidak salah si miskin, berdoa dan mengimpi untuk menjadi kaya, dan lagi tak salah juga kalau si sederhana berdoa siang malam untuk menjadi senang dan kaya, jua si kaya berdoa dan berlelah siang dan malam untuk menjadi lebih kaya. Semua itu hak masing-masing, permintaan masing-masing kepada Pencipta mereka. Asalkan semua permintaan dan hasrat itu perlulah disandarkan semula kepada Yang Maha Memberi!

Sedih juga melihat, si bujang teruna yang siang dan malam bekerja keras mengambil OT (over time) untuk mengumpul duit sebanyak mungkin untuk belanja perkahwinannya. Namun segala usaha itu hanya mendapat lelah dan penat apabila tiada langsung pergantungan hatinya kepada Yang Maha Memberi. Apatah lagi bonus barakah dan pahala! Agaknya formula logik yang digunakan adalah lebih dari mencukupi iaitu, bila kerja kuat, pulun OT sebanyak mungkin, lagi la banyak aku dapat simpan untuk kahwin, beli rumah bla..bla..bla..Tidak semudah itu kawan! Kau bedal pakai seluar pendek siang dan malam, belasah bawa tunang yang tidak menutup auratnya dengan sempurna masuk ke dalam rumah bujangnya, berdua-duaan, bersentuh-sentuhan tanpa langsung tidak mengendahkan yang Allah Maha Memandang!!!!

Itu juga pelajaran. Pelajaran bagi hati yang melihat, iman yang menganalisa, nafsu yang dibendung ketat-ketat agar tidak mengatasi imannya. Ingatlah selalu diriku dan sahabat, kita datang dari Allah dan akan kembali jua kepadaNya. Jadi, masa perantaraan semasa hidup yang sebentar ini, mengapa pula kita nak tinggalkan Allah, ketepikan Allah, melawan Allah!! Nauzubillahi min zalik.

Awasi makananmu, awasi pakaianmu, awasi auratmu, awasi tuturmu, awasi muamalahmu, awasi masamu, awasi sangkamu (kata hatimu) dalam sehari-harian mu! Jangan biarkan hatimu mati, bersegeralah mempersembahkan taubatmu kerana Allah sentiasa memberikan peluang yang amat luas, luas-seluas-luasnya tanpa batas untuk menautkan hatimu kembali kepada Yang Maha Pencipta, Yang Maha Membolak-balikkan hati, Yang Maha Memberi, Yang Maha menarik kembali. Bersyukurlah sepanjang masa, memohon ampunlah setiap masa!!!


1 comments:

fairuspeng said...

terasa begi sayu membaca tulisan kali ini..
menikam jauh di kalbu...
kenapa dgn kak huda...
sudah lama tidak mendengar cerita tentangnya

21 October 2009 at 14:45