pohonhijau.com

Ukhuwwah Fillah, Mahabbah Lillah

Selamat Memulakan Tugas Guru

Diucapkan selamat memulakan tugas buat para guru di semua institusi ilmu di seluruh negara!! Ilmu adalah amal jariah. Pahalanya berterusan selepas kematian. Golongan pendidik adalah golongan yang paling dekat dengan tugas para Rasul, kerana dia mendidik MODAL yang paling berharga - iaitu modal insan!


Bayangkan...seorang jurutera hanya berdepan dengan mesin dan alat-alat teknologi, TETAPI pendidik berdepan dengan sikap dan peribadi teknokrat itu sendiri. Seorang doktor pula menangani penyakit lahiriah, manakala seorang pendidik menangani penyakit rohani!


Pendidik Mesti Mendidik Bukan Sekadar Mengajar

Apa beza mendidik dan mengajar?

Mengajar hanya memberitahu, memahamkan dan menyampaikan, mendidik pula dengan kaedah mengajak, mendorong, membimbing dan memantau!!


Contohnya, mengajar sembahyang ialah dengan menyampaikan ilmunya, tentang sah, batal, rukun dan syaratnya. Hasilnya pelajar kita tahu sembahyang. Manakala mendidik pula lebih kepada mengajak. Kita ajak pelajar sama-sama bersembahyang dengan kita. Kita jadi role modelnya. Jika mereka malas, kita mendorongnya, jika salah kita membetulkannya. Hasilnya, pelajar akan mahu bersembahyang!

Perbezaan Makna Tahu dan Sedar

Tahu letaknya di akal dan sedar letaknya di hati. Dengan akal kita mengetahui sesuatu, tetapi dengan hati, kita menyedarinya. Contohnya, kebanyakan manusia dia tahu dia seorang hamba Allah, tetapi dia tidak sedar dia seorang hamba Allah. Akibatnya ramai manusia yang sanggup melakukan kejahatan walaupun tahu hakikat sebagai hamba Allah tidak sewajarnya dia berbuat demikian. Itulah akibat bila hanya tahu tetapi tidak sedar! Itulah juga puncanya ada orang melakukan kejahatan, walaupun ilmunya tinggi melangit. Dia hanya tahu tetapi tidak sedar. Belajar tauhid hanya sekadar hafalan, bukan penghayatan, sebab itulah pelajar sekolah agama pun terlibat jenayah! Lebih teruk lagi hakim mahkamah syariah pun didakwa rasuah.




Bagaimana pula nak sedar? Pindahkan ilmu yang di kepala ke dalam hati. Sebab itulah kita mesti mendidik dan bukannya sekadar mengajar!!! Pendidik wajib memandang tinggi profesyennya sendiri. Jangan kesal kalau diri tidak dihargai, tetapi kesalnya kalau diri benar-benar tidak berharga. Maksudnya pendidik mesti mempunyai harga diri yang tinggi. Baharulah mereka boleh berjaya mendidik. Ganjaran pahala bukan sekadar laba. Penilaian Allah bukan hanya penilaian manusia, jika tidak, pendidik hanya akan sekadar mengajar!!! Dan hasilnya pelajar hanya TAHU...tetapi tidak SEDAR!

0 comments: