Syabab Musafir Kasih

Alhamdulillah, semalam saya sempat menghabiskan membaca sebuah novel tulisan Fatimah Syarha Mohd Noordin berjudul Syabab Musafir Kasih terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Penulis ini juga yang menukilkan novel Tautan Hati. Namun isi Syabab Musafir Kasih ini tidaklah seberat kandungan Tautan Hati, namun ia tetap berjaya membawa mesej yang jelas sebagai tujuan hidup seorang khalifah Allah di muka bumi. 

Mengisahkan kisah hidup seorang anak yatim sekecil darjah satu yang hidupnya penuh cemuhan dan buli daripada kalangan abang dan kakaknya yang kebejatan akhlak dan penduduk kampung yang tidak senang dengan sikapnya Syabab yang dilabelkan sebagai budak nakal, pengotor dan terbiar lantaran kesibukan si ibu Mak Som yang berhempas pulas mencari nafkah untuk anak-anaknya siang dan malam. Abang dan kakak Syabab terkenal dengan sampah kampung dengan beraktiviti melepak, merempit, menghidu gam manakala Syabab pula terkenal dengan seorang budak yang menjadi bahan buli adik-beradik dan kawan-kawannya di kampung dan di sekolah, lembap dalam pelajaran, semak, belukar pokok kelapa adalah taman permainannya. 

Hanya Kak Zah yang melihat sirna di kejauhan potensi Syabab, ketika semua orang mencemuh, memarahi dan mengejeknya. Kak Zah atau Nur Mumtazah adalah jirannya yang sedang menuntut di menara gading. Kak Zah lah yang melenturkan rebung Syabab dengan segala nasihat dan kalimah berharga setiap kali cuti semester....

Kehidupan Syabab yang penuh ranjau sesekali terikut dengan arus songsang ketika usia meniti remajanya dan kadangkala mengikut arus lurus dengan kehikmahan ingatan dan teladan yang ditunjukkan oleh Kak Zah. Sehinggalah sampai ke satu tahap....di mana...

 

'Ketika di KLIA, penjaga kaunter menjelaskan bagasi Syabab melebihi had muatan. Dia diberi pilihan sama ada membayar setiap lebihan muatan atau mengurangkan muatan. Akhirnya dia memilih untuk mengurangkan muatan bagasinya. Dia pun membuka bagasinya dan kelihatan semua orang terkejut kerana keperluan diri yang dibawanya adalah sedikit. Banyak barang lain yang kelihatan tidak wajar.. Yang paling menghairankan, terdapat 5 biji kelapa tua yang sudah bertunas di dalam bagasinya. 

 "Nak tanam di Syiria?" perli abangnya. 

 Syabab mengangguk pasti. Abang-abang yang lain meleterinya, turut jua ada yang ketawa. Syabab diam selamba. Syabab terpaksa mengeluarkan kelapa itu kecuali SEBIJI.

 "Itulah tanda dan bukti orang yang berwawasan jauh"....bisik Kak Zah ke telinga suaminya sambil tersenyum.'

 

Kepulangan Syabab ke kampung halaman setelah mengisi bekalan diri di bumi Syiria, semata-mata untuk memberikan nur Islam melalui medan dakwah di kampungnya. Kejayaannya disebut-sebut oleh mulut-mulut yang pernah menyakitinya dahulu..namun Syabab tidak pernah berdendam.

Lantas......

Ketika isterinya Nur Mumtazah bersungguh-sungguh menyuruh dan memujuk suaminya Syabab untuk meminang cucu Syeikh Sobir, guru Syabab ketika menuntut di Syiria....

Namun......

 "Dengarlah isteriku, abang tak mungkin duakan isteri semulia Zah. Rasulullah tak pernah duakan Khadijah ketika hayatnya. Ali tak pernah duakan Fatimah ketika hayatnya. Isteri pertama sangat istimewa. Tak mungkin diduakan." Syabab bersuara penuh yakin.

Satu pengakhiran yang menyentuh hati, setelah Syabab bertemu jodoh dengan seorang insan Nur Mumtazah yang dahulu melenturkan dirinya dengan nasihat dan kalimah yang baik ketika Syabab masih rebung. Walaupun Syabab mempunyai pilihan, namun hatinya sudah terpasak kepada keperibadian Kak Zah yang telah menjadi janda kerana kematian suaminya akibat kemalangan. 

Itulah rencah kehidupan yang sarat dengan teladan dan pengajaran yang harus diteladani. 


Tahniah Ya ukhti Fatimah Syarha...teruskan usaha dan bakatmu untuk terus berkarya dalam bidang penulisan yang unik ini....!!

Comments

Popular posts from this blog

Catatan Ketiga Abi dan Ummi

Aliyah Husna, 3 tahun...

AURA FCA TO BE