pohonhijau.com

Ukhuwwah Fillah, Mahabbah Lillah

Bila Pagar Makan Padi..

Ketika asyik aku menghirup air koko panas sewaktu minum petang di suatu petang, ibuku memulakan bual bicara. "Kakak nak tahu, Apis dah dapat anak?" "Apis mana ni mak?" setahuku tidak ada kawan-kawan sebayaku yang bernama Apis. 

"Apis anaknya Pak Seman"..."Oh Apis..." baru aku jelas Apis yang mana. Apis tu anak Pak Seman dan Tok Ngah. Tok Ngah tu sangat rapat  dengan mak, walaupun tiada ikatan pertalian darah, namun Tok Ngah merupakan kakak angkat kepada mak. Itu yang menjalinkan ikatan yang amat rapat antara kami dua keluarga. Apis tu pula sebaya adikku yang kedua berumur 22 tahun. 

Oleh kerana Apis tidak minat belajar, dia tidak mahu menyambung pelajarannya ke mana-mana selepas tamat SPM. Masanya yang panjang terluang dihabiskan begitu sahaja dan kadangkala dia mencuba nasib tinggal di Johor bersama abangnya untuk mencari sebarang pekerjaan yang boleh dilakukannya. Tetapi tidak lama, dia tinggal bersama abangnya....akhirnya Apis pulang jua ke kampungnya tinggal bersama mak dan ayahnya yang sudah semakin dimamah usia. Memandangkan Apis pun anak yang bongsu, jadi dia merasakan bahawa dia bertanggungjawab untuk menjaga mak dan ayahnya di rumah. 

Aku kembali bertanya ibu, " Bila dia kahwin mak?" 

"Hujung minggu lepas" balas ibuku selamba.

"Aik?!! Baru kahwin hujung minggu lepas??? Tapi  macam mana dah dapat baby?" tanyaku penuh terkejut..

Ibu pun membuka cerita...."Dia nikah hari Khamis, kemudian hari Sabtu, babynya lahir..." "Menangis-nangis Tok Ngah mengadu kat mak, Kak..."

Sayu dan GERUN aku mendengar cerita mak...bukan orang lain Tok Ngah dengan kami....Kami sangat rapat. Masih aku ingat, semasa aku kecil-kecil dahulu dalam darjah 5, aku kerap juga tidur di rumah Tok Ngah ketika hujung minggu. Aku rapat dengan kakak Apis, walaupun kami tidak sebaya, Kak Ema tua setahun daripada usiaku. 

Hatiku bagaikan diketuk halilintar....

'Tidak takutkah dia akan balasan Tuhan?' 'Mengapa dia tergamak melakukan perkara yang terkutuk itu?' 'Andai hukuman sebat dan rejam dilakukan dan didokong oleh undang-undang Malaysia ini, mungkinkah dia akan gerun lantas terselamat daripada melakukan kerja sekutuk itu?'

"Mungkin juga apabila nama sebenar Hafiz tidak disebut dengan betul dengan penghayatan maknanya,kerana nama timangannya dipanggil Apis, Kupih dll...menjadikannya namanya yang sepatutnya membawa makna Pemelihara / Pelindung tidak mampu memelihara nafsu tuan badannya daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah. Kerana nama itu adalah doa....




Si ibu punyalah percaya dan yakin, setiap pagi sehingga ke petang, si anak pergi menguruskan ladang si ayah yang mana mereka menanam sendiri pokok sawit yang sedang fasa ditanam semula di samping menguruskan lembu ternakan mereka di ladang saban hari. Akhirnya si anak teruna harapan si ibu membalas tuba pada susu yang diberi, apatah lagi sanggup mencoreng arang di wajah kedua orang tuanya yang kian uzur.



Cerita sebegini bukan lah yang pertama berlaku di Felda ini....namun yang kesekian kali yang tidak sanggup minda ini mahu mengiranya. Yang amat mendukacitakan, ada ibu bapa yang seolah-olah membenarkan atau merelakan anak gadis sunti mereka digendong dikelek ke sana ke mari oleh jejaka Felda yang tidak keruan arah tuju masa depannya. Mereka bangga apabila si gadis mereka sudah mempunyai teman lelaki. Malah si teman lelaki tadi sudah tidak segan silu datang ke rumah si gadis, hatta memanggil ibu si gadis "mak" pun ada!!!! Mereka seolah-olah dibutakan dengan kesan dan impak yang bakal berlaku ekoran rutin hidup si gadis yang penuh penasaran. Inilah cabaran wabak yang menular yang memerlukan kekuatan iman dan akal untuk merawat akhlak masyarakat.



"Ya Allah, ampunkanlah kami atas dosa-dosa kami. Kami sangat takut akan azabmu Ya Allah. Limpahkanlah hidayahMu ke atas seluruh anak-anak muda di kampung kami, ke atas seluruh bonda dan ayahanda kami. Sedangkan kepanasan hari ini telah kami rasakan betapa panasnya, bagaimana pula dengan azabMu di sana....ampunilah kami semua Ya Allah..."

0 comments: